Sabtu, 20 Februari 2016

KARANGAN LAPORAN

Persatuan Bahasa Malaysia di sekolah anda telah mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru –baru ini. Anda sebagai setiausaha persatuan itu dikehendaki menulis satu laporan lengkap tentang lawatan tersebut. Tulis laporan itu.
Laporan Lawatan Sambil Belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pada cuti penggal kedua yang lalu, Persatuan Bahasa Malaysia, Sekolah Menengah Sri KDU, Kota Damansara telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Lawatan yang diadakan pada hari Sabtu, 19 Mei 2012 disertai oleh sebanyak 40 orang ahli persatuan dan dua orang guru penasihat.
Objektif lawatan tersebut adalah untuk mengenali buku-buku bermutu keluaran DBP, mengetahui cara-cara buku diterbitkan, dan untuk menimba pengetahuan selaras dengan konsep lawatan sambil belajar.
Sebelum bertolak, guru penasihat kami mengingatkan para pelajar supaya menjaga disiplin dan nama baik sekolah semasa di sana. Selepas mendengar pesanan beliau, barulah rombongan kami bertolah dari sekolah.
Kami tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka tepat pukul 11.00 pagi. Rombongan kami disambut oleh Pegawai Perhubungan Awam Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau memberi penerangan tentang sejarah penubuhan DBP dan tujuan penubuhannya. Kami juga diberi taklimat ringkas tentang bahagian-bahagian yang akan kami lawati. Sebelum itu, kami diberi satu naskah majalah Pelita Bahasa keluaran DBP secara percuma.
Tempat pertama yang menjadi destinasi kami adalah ke bahagian pameran. Semasa berada di bahagian ini kami berpeluang melihat berbagai-bagai jenis buku yang dikeluarkan oleh DBP sama ada buku-buku lama atau buku-buku baru. Buku-buku tersebut ditulis dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang merangkumi buku-buku agama, politik, ekonomi, dan bahasa. Kami juga berpeluang mengenali berbagai-bagai jenis majalah seperti majalah Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan lain-lain. Kami juga diberi beberapa maklumat tentang buku-buku dan majalah-majalah tersebut terutamanya apabila timbul beberapa kemusykilan.
Selepas itu, kami dibawa ke bahagian pencetakan. Di sini, kami melihat dengan jelas cara-cara buku dan majalah dicetak. Kami perhatikan buku-buku tersebut dicetak dengan begitu pantas dengan menggunakan alat-alat yang canggih, teknik-teknik yang sistematik, yang diusahakan oleh pekerja-pekerja yang mahir dan cekap. Kami juga dapat melihat dengan jelas cara buku-buku itu dijilid, disusun, dan sebagainya.
Sebelum pulang, kami tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa buah buku bagi kegunaan kami. Hal ini demikian kerana kami diberi potongan harga istimewa oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Kira-kira pukul 3.00 petang, selepas dihidangkan jamuan ringan, kami mula bertolak keluar dari perkarangan DBP. Lawatan tersebut telah menimbulkan banyak faedah kepada kami. Antara faedah-faedahnya ialah kami dapat mengenali buku-buku bermutu keluaran DBP. Buku-buku tersebut didapati telah menjadi bahan rujukan utama sama ada oleh para pelajar, mahasiswa, mahupun orang perseorangan.
Selain itu, lawatan tersebut dapat menyemai minat dan budaya membaca di kalangan pelajar. Sekurang-kurangnya timbul keinsafan dan kesedaran di hati kami tentang betapa pentingnya membaca untuk menambah pelbagai maklumat dan pengetahuan. Lawatan sambil belajar yang kami anjurkan ini dianggap berkesan kerana kami dapat menimba ilmu dan meluaskan pengetahuan.
Walaupun lawatan seumpama ini pertama kali dianjurkan oleh persatuan kami, namun lawatan ini sangat berhasil. Harapan kami agar lebih banyak pelajar di sekolah ini menyertai lawatan sambil belajar pada masa depan.

DilaporkanOleh,                                                                       20 Mei 2012.
MuhdIzzat                       
 (MUHAMMAD IZZAT NASEER)
Setiausaha, Persatuan Bahasa Malaysia,
Sekolah Menengah Sri KDU, Kota Damansara.

Rabu, 10 Februari 2016

Karangan-Surat Kiriman Rasmi

Karangan- Autobiografi

Saya mempunyai basikal berjenama "Vintage Le Run".Basikal itu hadiah daripada ayah sempena hari lahir saya yang kesembilan.Kata ayah, harga basikal itu RM300.

Saya amat sayang akan basikal saya itu.Pada waktu petang, saya menggunakan basikal itu ketika bermain di halaman rumah.Kadang-kadang tubuh saya berpeluh apabila kerap mengayuh basikal berwarna kuning itu.

Kadang-kadang adik saya, Ammar meminjam basikal tersebut.Saya bertolak ansur dengan membenarkan adik saya menggunakannya, tetapi memintanya berhati-hati ketika mengayuh.Selepas digunakan, basikal itu akan saya letak di dalam garaj rumah.

Sudah dua kali tayar basikal saya pancit kerana terlanggar benda tajam.Ayah menghantar basikal itu ke kedai untuk dibaiki.Ayah selalu berpesan agar saya cermat menggunakan basikal agar boleh digunakan dalam tempoh yang lama.

Sekali-sekala saya dan ayah berbasikal mengelilingi taman perumahan.Sambil mengayuh, saya dapat melihat persekitaran taman perumahan yang bersih dan cantik.Walaupun terasa letih, tetapi saya berasa puas.

Saya akan memastikan basikal saya sentiasa dalam keadaan baik.Oleh hal demikian, saya sentiasa menjaga basikal saya.Saya berharap agar suatu hari nanti saya akan memiliki basikal yang lebih besar.


--------------------------------------------------------TAMAT-------------------------------------------------------


FACEBOOK: akmal syahmi badrul hisham

INSTAGRAM;akmalsyahmo

TWITTER:akmalsyahmi7

Ahad, 7 Februari 2016

Karangan UPSR- Sambutan Hari Lahirku Yang Kesepuluh.

     Setiap 22 Julai, bermakna usia saya bertambah lagi setahun.Saya tidak pernah menyambut hari lahir besar-besaran.Biasanya pada hari tersebut ayah dan ibu hanya akan membeli kek dan hadiah.

     Pada tahun ini ayah mahu mengadakan sambutan hari lahir yang agak besar sedikit.Lalu, saya mengedarkan kad jemputan kepada rakan-rakan semiggu sebelum tarikh tersebut.Ayah dan ibu juga mengudang sepupu saya.

     Pada hari sabtu jam 3.00 petang, rakan-rakan mula tiba di rumah saya.Apabila sudah ramai datang, saya memulakan majlis dengan meniup lilin dan memotong kek.Rakan-rakan menyanyikan lagu "SELAMAT PANJANG UMUR".

     Ayah kemudiannya, menyampaikan ucapan dan mengharapkan saya rajin belajar dan menjadi anak yang baik.Saya hanya menganguk mendengar kata-kata itu.Selepas itu, rakan- rakan menghulurkan buah tangan yang dibawa dari rumah.

     Bagi mengisi masa yang terluang, berbagai-bagai acara telah diadakan.Rakan-rakan tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam acara rebut kerusi,teka-teki, dan meniup belon. Mereka yang memenangi acara yang dipertandingkan akan diberikan hadiah.

     Acara berakhir pada pukul 6.00 petang. Suasana amat meriah sepanjang acara dijalankan.Saya amat gembira kerana acara yang ayah dan ibu uruskan berjalan dengan baik.Sebagai balasan, saya berjanji kepada mereka akan belajar bersungguh.