Sabtu, 23 Ogos 2014

Contoh Karangan Ucapan

  Selamat sejahtera Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Guru Besar, panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pencadang dan rakan-rakan seperjuangan. Tajuk perbahasan kita hari ini ialah 'Barang Luar Negara Lebih Baik Daripada Barangan Tempatan'. Saya sebagai pembangkang pertama membangkang tajuk di atas.

Hadirin yang dihormati,

      Cubalah kita renungkan sejenak, mengapakah kita lebih gemar membeli barangan luar negara? Adakah disebabkan harganya mahal, maka barangan itu bermutu tinggi?

      Kita semua tahu bahawa barangan luar negara lebih mahal harganya berbanding dengan barangan tempatan. Hal ini demikian kerana barangan itu telah dikenakan cukai import oleh kerajaan. Dengan itu, jelas terbukti bahawa harga mahal  bukan bermakna mutunya yang baik. Bagaimanapun masyarakat masih menganggap setiap yang mahal itu bermutu.

      Mutu barangan luar negara tidak terjamin dari segi ketulenan dan ketahanannya. Barangan di dalam negara diperbuat daripada bahan mentah yang baik dan menepati piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan. Dengan itu, mutu barangan tempatan bukan sahaja setanding, malahan mengatasi mutu barangan luar negara.

      Justeru, saya mengajak saudara semua marilah kita  beralih kepada barangan tempatan kerana mutunya lebih baik dan harganya berpatutan. Belilah barang-barang tempatan untuk menyokong ekonomi negara kita sendiri.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan