Sabtu, 23 Ogos 2014

CONTOH MESEJ DI DALAM YAHOO







      Kepada sahabatku yang berada di Sarawak. Apa khabar saudara? Semoga saudara dan ibu serta ayah saudara sihat sejahtera. Bersama-sama ini saya sertakan maklumat tentang permainan tradisional dalam masyarakat Melayu Kelantan sebagai bahan untuk buku skrap Bahasa Melayu sebagaimana yang dikehendaki oleh guru saudara.

Saudara,

      Sebagai pengetahuan saudara, masyarakat Melayu Kelantan pada zaman silam ialah masyarakat petani. Mereka mengusahakan pertanian terutamanya padi secara tradisional. Mereka menanam padi sekali sahaja dalam tempoh setahun. Untuk mengisi masa yang terluang di samping menghiburkan hati yang walang, mereka berpakat mengadakan pelbagai jenis permainan mengikut kecenderungan masing-masing selepas aktiviti menuai padi.

      Antara permainan tradisional yang amat digemari ialah rebana ubi, kertuk, dikir barat dan galah panjang. Di Kelantan, permainan galah panjang dikenali sebagai coh. Permainan ini dimainkan selepas Solat Isyak, ketika malam bulan purnama. Mereka berkumpul untuk melihat ahli keluarga atau jiran mereka yang mengambil bahagian dalam permainan itu.

      Permainan rebana ubi dan kertuk hampir sama tetapi rebana ubi lebih besar. Permainan galah panjang tidak memerlukan alat muzik tetapi memerlukan tujuh orang pemain bagi setiap pasukan. Manakala dikir barat menggunakan pelbagai jenis alat muzik seperti gendang, tetawak dan canang. Walau bagaimanapun, tukang karut dan juara memainkan peranan yang penting untuk menghiburkan penonton.

      Kadang-kala permainan ini diadakan pertandingan antara kampung yang berjiran. Para penonton kedua-dua belah pihak memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Mereka juga bertindak sebagai pengadil. Keputusan pertandingan secara bersama itu memberi kepuasan kepada kedua-dua belah pihak dalam suasana muhibah.

      Permainan ini tamat hampir dinihari. Walaupun pada waktu itu ayam jantan telah berkokok berkali-kali namun para penonton berasa terhibur. Segala penat lelah ketika mereka bekerja pada waktu siang sudah tidak terasa lagi.

Faris bin Muhammad

Pasir Mas, Kelantan

1 ulasan: