Sabtu, 23 Ogos 2014

Contoh Karangan UPSR Cerita


     Cikgu Azlan memperkenalkan dirinya. Kemudian, beliau meminta murid-murid memperkenalkan diri mereka dan menyatakan pekerjaan bapa masing-masing. Azmi gelisah. Tentu dia akan ditertawakan oleh rakan-rakannya lagi.

     Seorang demi seorang murid Tahun Enam Gigih memperkenalkan diri mereka. Azmi semakin resah dan kecut perut. Kini, sampailah pula gilirannya.

     "Nama saya Azmi bin Atan. Saya tinggal di Kampung Duri. Saya anak sulung daripada enam orang adik-beradik. Bapa saya bekerja sebagai ...." Azmi tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dadanya berdebar-debar, mukanya pucat lesi. Gelak ketawa rakan-rakannya memenuhi ruang kelas. Cikgu Azlan terpaksa menenangkan Azmi dan menyuruh murid-muridnya senyap.

     "Mengapakah kamu semua ketawa?" tanya Cikgu Azlan.

     "Bapa Azmi bekerja sebagai tukang sabit rumput dari rumah ke rumah, cikgu. Kalau rumput di halaman rumah cikgu sudah panjang, cikgu boleh suruh Azmi memberitahu ayahnya supaya menyabit rumput di rumah cikgu," kata seorang rakannya sambil menekan-nekan perut menahan diri daripada ketawa.

     Cikgu Azlan menegur sikap murid-murid itu. Katanya, mereka tidak boleh memandang hina terhadap pekerjaan seseorang. "Mulia dan hina seseorang tidak terletak pada pekerjaan dan kecantikan tetapi pada hati dan budi pekertinya. Kamu juga tidak harus mentertawakan Azmi."

     Cikgu Azlan turut menasihati Azmi supaya bersyukur mempunyai ayah yang sanggup bekerja keras untuk menyekolahkannya. Ayahnya bekerja sebagai tukang sabit rumput untuk mencari rezeki yang halal bukan menjadi pencuri.

     Azmi menangis teresak-esak. Dia benar-benar insaf dan mengesali sikap rakan-rakannya kerana memandang hina akan pekerjaan ayahnya. Sekarang dia tidak malu lagi jadi anak kepada tukang sabit rumput. Dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarganya dan membalas jasa ibu dan bapanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan