Sabtu, 23 Ogos 2014

Contoh Karangan UPSR Autobaiografi

  Budaya membeli pakaian berjenama bukanlah suatu perkara baru dalam masyarakat. Perkembangan ini sudah menjadi ikutan khususnya golongan remaja yang terikut-ikut dengan perkembangan fesyen dan tidak keterlaluan lambat-laun akan menimbulkan masalah moral yang memeningkan kepala ibu bapa. Meskipun pelbagai kempen telah dilancarkan untuk menggalakkan masyarakat membeli barang-barang tempatan tetapi tidak berjaya. Selagi pemikiran individu masih beranggapan bahawa pakaian yang berjenama dari luar negara lebih berkualiti, maka kempen ini tidak mencapai sasaran.

      Kempen membeli barang-barang tempatan ini bertujuan untuk meningkatkan industri barang-barang tempatan dan langkah penjimatan wang. Kita perlu sedar bahawa Malaysia pada masa kini menghasilkan barangan bermutu seperti barangan kilang, elektrik, perhiasan, makanan dan termasuk pakaian. Ramai orang tidak sedar bahawa barangan import itu sebenarnya setanding dengan barangan yang dikeluarkan oleh negara kita.

      Sikap pengguna yang memandang rendah terhadap barangan negara sendiri perlulah dibuang kerana mutu barangan Malaysia memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Golongan ini lebih berbangga dengan barangan import dan sanggup membayar dengan harga yang tinggi kerana terpengaruh dengan iklan yang mementingkan gaya hidup moden. Sikap biar papa asalkan bergaya ini perlu dikikis. Selagi golongan ini tidak mengubah sikap, selagi itulah kempen-kempen ini tidak mencapai matlamat sebagaimana yang diharapkan. Oleh itu, kesedaran rakyat sangat penting untuk meneruskan kelangsungan industri tempatan.

      Kerajaan seharusnya memperketatkan syarat kemasukan barangan import ke negara kita. Kaedah ini juga adalah untuk melindungi industri tempatan dan tidak membiarkannya menghadapi persaingan hebat dengan barangan import. Di samping itu, mutu barangan tempatan hendaklah dikawal. Pengeluarannya juga perlu ditambah dengan harga yang berpatutan. Dengan itu, barulah kita dapat menawan hati para pelanggan tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan